XPDC @ Gunung Gading

Pada semester, banyak betul tempat saya dapat melawat, memang seronok  duduk di Sarawak. Gambar-gambar di bawah ni saya ambil masa mendaki Gunung Gading.



Spesis ulat gonggok. Warna ulat ni sangat menarik, kontra dengan warna kaki dia. Subhanallah, indahnya ciptaanNya.




Sebatang tiang yang diukir. Sangat kreatif dan cantik!
Air terjun yang sangat mendamaikan jiwa.
Sejenis cendawan yang tumbuh di atas akar pokok. Cendawan ni sangat unik sebab bentuk cendawan ni macam karang. Itulah agungnya ciptaan Allah swt.
Semuat ni memang nampak macam kejam kan. Kesian cacing tu, tapi nak buat macam mana dah lumrah alam. Kalau semut tu  tak bunuh cacing tu, lapar lah dia....
Sangat menenangkan jiwa apabila melihat air terjun. Hilang segala masalah dan tekanan assignment.
Di Gunung Gading ni memang banyak ulat macam nie. Siapa-siapa yang takut ulat dinasihatkan jangan mendaki, hehehe
Inilah rupa cendawan yang saya cakap macam batu karang tu. Gambar ni saya ambil daripada pandangan atas. Kalau dalam bahasa seni, bird eyes view, hehehe, cantik kan....
Cantik kan daun ni...saya tak tahu sama ada daun ni layu atau memang macam tu.
Ni lah bunga meranti yang dibawa terbang oleh angin.
Bunga reflisia yang belum kembang. Dulu masa sekolah tengok dalam buku teks, tapi sekarang saya dapat lihat di depan masa. Alhamdulillah, Allah memberi kesempatan dan peluang untuk saya melihat keagunganNya.
Bungan reflisia ni dah layu sebab dia dah nak mati. Setiap yang bermula pasti akan berakhir, setiap pertemuan pasti ada perpisahan dan setiap yang hidup pasti akan mati. Begitulah kita juga, suatu hari nanti pasti pergi menemui pencipta iaitu Allah.
Bunga reflisia yang ketiga saya jumpa. Bunga ni baru kembang. Alhamdulillah, saya sangat bernasib baik sebab bukan senang nak jumpa bunga gergasi ni.

Tempat berehat untuk pengunjung





 Kalau nak rasa tengok bunga reflisia depan mata, datanglah Gunung Gading. Rugilah sapa yang tak datang sini...(^__^)














Luahan Rasa Seorang Anak

Ku lihat sahabatku,
Memeluk erat ibunya,
Mencium mesra tangan ayahnya,
Menghidupkan hari dengan doa ibu bapa.
Buat hati itu,
Tiada cinta sejati melainkan cinta dariNya,
Tiada kasih sayang melainkan kasihnya ibu bapa,
Tiada kebahagiaan melainkan bahagianya sebuah keluarga.

Tapi bagiku,
Cinta buat Allah hanya ku punya,
Tiada pelukan manja seorang ibu,
Tiada didikan kasih seorang ayah,
Di dalam kamus hidupku.
Tatkala malam,
Allah dan air mata,
Sedih serta pilu,
Bayangan ibu dan bapa,
Impian kebahagiaan serta kegembiraan,
Yang mengiringi mimpiku.

Sesungguhnya Allah,
Yang mendengar doaku,
Yang melihat tangisku,
Yang mengetahui apa rasaku,
Terima kasih Ya Allah.


 -Artikel iluvislam.com

Kepentingan Usrah

Apabila kita menyebut wasilah atau kaedah kita bekerja, terdapat unsur-unsur yang perlu difahami antaranya ialah wa'I (sedar) dan waqi'I (realistic). Kita hendaklah sedar bahawa kita ialah pendakwah dan bukannya penghukum atau qadhi. Tugas kita adalah untuk berusaha semaksimum mungkin untuk memanggil dan mengajak, bukan untuk berebut mahupun memaksa. Dalam hal ini, dua wasilah kita gunakan, iaitu wasilah umum dan wasilah khusus.

Dalam wasilah umum, tugas kita adalah untuk menyampaikan Islam kepada umum dengan dakwah sama ada dengan lisan, tulisan mahupun dengan qudwah hasanah (contoh teladan yang baik). Kita hendaklah menerangkan apa itu Islam yang syamil (menyeluruh) dan apa itu aqidah yang benar. Kesemuanya ini perlu kembali kepada pentafsiran al-Quran dan al-Sunnah oleh ahlinya dan bukan yang diabstrakkan oleh ahli fikir semata-mata.
Kita mengadakan majlis ilmu, majlis masyarakat dengan unsur-unsur Islam dan majlis-majlis lain yang boleh kita sampaikan mesej Islam. Marhalah ini dikenali sebagai marhalah al-ta'rif (pengenalan) yang kandungan utamanya ialah Islam dan iman, bukannya perkumpulan. Hanya apabila telah diyakini bahawa mad'u (sasaran dakwah) dapat menerima konsep Islam sebagai al-Din yang syamil barulah dipindahkan usaha kita kepada wasilah khusus.
Dalam wasilah khusus, konsep 'amal jama'i ialah unsur yang ditekankan dan di sinilah bermulanya kepentingan usrah sebagai satu unit terpenting dalam gerakan. Dalam wasilah ini ada dua marhalah yang perlu dilalui iaitu takwin (pembentukan) dan tanfiz (pelaksanaan).

Dalam marhalah al-takwin, unsur-unsur yang telah dikenal pasti dan yang dapat menerima konsep yang telah dijelaskan tadi hendaklah dipupuk dengan satu canaian seperti yang disebut oleh Sheikh Sa'id Hawwa sebagai nizam al-da'wah yang berbentuk sufi pada rohnya dan ketenteraan dalam amalannya, yang syiarnya ialah perintah dan taat.
Ikhwah hendaklah melatih diri untuk sentiasa berada dalam keadaan peka dan bersedia menerima arahan dan tanggungjawab kerja. Marhalah inilah yang dikenali sebagai tajnid untuk membentuk satu barisan kader yang telah mempunyai satu tasawur yang jelas terhadap Islam dan matlamat perjuangan. Di sini beberapa pengorbanan diperlukan dan pengorbanan akan merupakan sebab kepada peningkatan iman dan Islam kita kerana proses pencernaan akan berlaku dan beberapa ujian akan mula dirasakan.

Marhalah al-tanfiz, marhalah kedua, ialah marhalah sebenar yang akan menguji komitmen kita terhadap segala teori yang telah kita jalani. Dalam marhalah ini kita akan benar-benar berada di tengah-tengah medan juang dan di sinilah batas yang akan menguji keikhlasan kita kepada Allah Aza Wa Jalla.
Banyak orang yang boleh berteori dan banyak orang pula yang boleh menyatakan Islam itu syamil dan kamil tetapi belum tentu yang banyak itu akan sanggup menanggung berbagai-bagai mehnah dan ibtila' (tribulasi dan ujian) yang akan berada di hadapannya.

Konsep Islam itu tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripada Islam akan terbukti kalau kita berani membenarkan dan membawa Islam itu ke tengah-tengah medan tanpa mengira sebarang halangan yang didatangkan oleh manusia sama ada harta, kedudukan, pangkat, nama dan sebagainya.

USRAH SEBAGAI TUNJANG DALAM TARBIAH HARAKIAH

Proses tarbiah Islamiah adalah satu proses pendidikan dan pembentukan yang bukan semata-mata satu proses pembelajaran ilmu.
Usrah yang berasal daripada perkataan Arab yang membawa makna keluarga, merupakan satu medan untuk ahlinya bersama-sama menjalani satu proses pembentukan yang dibina di atas semangat al-ukhuwwah al-Islamiyah. Proses pembentukan itu bermakna makna penekanan dan perbincangan dalam usrah mencakupi satu bidang yang luas dan menyeluruh. Penekanan itu ialah terhadap unsur-unsur yang akan melahirkan peningkatan dalam kefahaman dan penghayatan Islam sebagai sistem yang syamil wa mutakamil (lengkap lagi melengkapi). Penekanan itu akan melahirkan semangat juang dan ketahanan secara berjamaah.

Dengan demikian haruslah diingatkan bahawa usrah hendaklah merupakan satu kelompok pendidikan yang akan melahirkan 'amilin (para pekerja) dan bukannya sekadar mufakkirin (golongan yang berfikir) walaupun kita tidak menafikan kepentingan orang-orang yang berfikir.

Usrah sebagai unit terpenting dalam gerakan Islam memerlukan satu bentuk penyusunan yang rapi kerana kita meyakini bahawa kebenaran yang tidak disusun rapi akan di atasI oleh kebatilan yang kemas. Sehubungan itu, organisasi usrah di setiap peringkat hendaklah diawasi sepanjang masa agar pelaksanaannya yang berkesan akan menguntungkan Islam dan jamaah.

PENTADBIRAN USRAH

Setiap naqib hendaklah memastikan agar perjalanan usrahnya diatur rapi dan kemas--jangan sampai ke peringkat yang boleh membosankan ahli-ahli usrah. Dalam hubungan ini, isi usrah janganlah dijumudkan dengan hanya membaca teks dan menghafal. Sebaliknya, pelaksanaan usrah hendaklah dipelbagaikan bertepatan dengan ciri tarbiah yang menekankan setiap aspek Islam. Kepelbagaian boleh dilakukan dalam bentuk pembacaan, perbincangan, rehlah (perkelahan), riadah (sukan), majlis qiamullail dan sebagainya.
  • Usrah mempunyai beberapa ciri yang membezakannya daripada nizam al-tarbiyah yang lain dan antara ciri tersebut ialah:
  • Usrah bersifat mutawasil (berterusan): Sesuatu pembentukan yang bersifat sekali sekala atau terputus-putus tidak akan dapat mencapai kesan yang diharapkan. Ciri ini akan membantu proses perkembangan dan penghayatan secara yang lebih berkesan.
  • Usrah merangkumi semua ahli sama ada pengikut, pekerja mahupun pemimpin. Pastikan tidak ada ahli yang terlepas daripada program tarbiah.
  • Dirancang dengan rapi dari semua sudut. Dilaksanakan secara bersungguh-sungguh oleh nuqaba' dan ahli.
Antara ciri keberkesanan sesuatu usrah ialah apabila persoalan di bawah ini ditanya, jawapannya dapat diberikan dengan sempurna:
  • Sejauh mana peningkatan ahli dalam penghayatan Islam? Sejauh mana konsep al-ta'awum (bekerjasama) di kalangan ahli dalam membantu proses penghayatan Islam? Sejauh mana ikatan dibentuk? Sejauh mana pula pelaksanaan ikatan itu dalam bentuk amalan?
Akhirnya marilah kita sama-sama membaharui syahadah perjuangan kita dengan mengulangi ucapan Allahu rabbuna (Allah tuhan kami), al-Rasul za'imuna (Rasul pemimpin kami), al-Quran dusturuna (al-Qur'an perlembagaan kami), al-jihad sabiluna (jihad jalan kami) dan al-maut fi sabilillah asma amanina (mati dijalan Allah adalah cita-cita tertinggi kami).
Sesungguhnya Islam tidak berhajat kepada kita tetapi kitalah yang berhajat kepada Islam dan hajat ini tidak akan dapat dipenuhi kalau keindahan dan kesyumulan Islam itu hanya kita teorikan dan tidak dicernakan dalam amalan dan perbuatan kita.

Dipetik dan diubah suai daripada risalah "Usrah dan Kepentingannya dalam Tarbiah Islamiah" oleh Lajnah Tarbiah dan Latihan Kepimpinan Pusat.




وَأَوْفُواْ بِالْعَهْدِ إِنَّ الْعَهْدَ كَانَ مَسْؤُولاً
...Dan penuhilah perjanjian dan sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya.
(Surah Al-Isra' 17: Ayat Ke 34)

Maksud Di Sebalik Kata



Sering kita menjadi mangsa,
Pada manis bicara,
Putar belit kata,
Tuturan lidah manusia,
Yang melontarkan kita ke gaung tipu daya,
Sesat dalam rimba percaya.





Manisnya bicara,
Laksana gula,
Manisnya meracun jiwa,
Taksubnya ...
Mengikat sangsi di perdu jati,
Kukuh talinya bersimpul mati.

Sedar-sedar saja ...
Segalanya telah tiada,
Hilang harta,
Hilang mahkota,
Barulah terungkai maksud di sebalik kata,
Bukti yang nyata,
Janji-janji yang dikata,
Tidak pernah terkota.

Sejak Aku di Dunia Ini, Aku............

Aku Seorang Mujahidah

Mampukah aku menjadi seperti Siti Khadijah?
Agung cintanya pada Allah dan Rasulullah,
Hartanya diperjuangkan ke jalan fisabillah,
Penawar hati kekasih Allah,
Susah dan senang rela bersama.

Dapatkah ku didik jiwa seperti Siti Aishah?
Isteri Rasulullah yang bijak,
Pendorong dikala kesusahan dan penderitaan,
Tiada sukar untuk dilaksanakan.

Mengalir air mataku,
Melihat pengorbanan puteri solehah Siti Fatimah,
Akur dalam setiap perintah,
Taat pada abuyanya yang sentiasa berjuang,
Tiada memiliki harta dunia,
Layaklah ia sebagai wanita penghulu syurga.

Sanggupkah aku menjadi ibu seperti Khansa'?
Rela menyerahkan anak-anaknya ke medan pertempuran,
Biarpun darah menjadi penggantinya,
Asalkan syahid menjadi habuan.

Aku pasti akan berusaha menjadi pewaris mereka,
Ayuh, kita bangun bersama,
Wahai para mujahidah!


I luv U Iman


Iman : Assalamualaikum, bos.

Diri : Waalaikumussalam wbt. Lama tak nampak awak. Awak cuti ker?

Iman : Taklah, jabatan kami rasa Tuan tak perlukan kami lagi?

Diri : Laa.. kenapa pulak awak cakap camtu? Pentadbiran diri saya berterabur sekarang bila jabatan awak takde..

Iman : Takdelah, kami lihat banyak pekerja tambahan tuan ambil DVD, SMS danTV.. jadi kami rasa terpinggir..

Diri : Entahlah, waktu cuti sebulan ni saya tak pernah menggaji mereka. Tapi mereka terlalu rajin buat kerja, bekerja tanpa gaji, tapi banyak gak duit saya habis... entah ar...

Iman : Tu sebab, kami rasa Tuan memencilkan kami. Al-Quran, zikir, ma'thurat, solat malam tak boleh bekerja dengan mereka.. kami memang tak boleh bercampur dengan mereka..

Diri : Saya tak pernah minta awak bercuti..

Iman : Bagaimana kami ingin bekerja sedangkan Tuan sudah punya 'pekerja tambahan'? Saya lihat mereka buat Tuan gembira sekali..

Diri : Argh, gembira apanya.. berterabur kerja kat pejabat tu!! Tolonglah, bekerjalah dengan saya kembali.

Iman : Kami sememangnya sudah berkhidmat dengan Tuan sejak Tuan kecil lagi. Tapi, Tuan kadangkala mengabaikan kami. Tuan sediakan makanan untuk bos pekerja tambahan, Encik Dosa, tapi kami..? Tuan tak sediakan makanan. Kebajikan kami tak terjaga...

Diri : Maafkan saya. Kembalilah bekerja dengan saya. Saya janji kebajikan kamu semua saya jaga, Encik Iman.

Iman : Tuan boleh berjanji, tapi CEO kita Allah akan memantau Tuan. Tuan takkan tak takut menabur janji tapi melupakannya?

Diri : Janganlah menyalahkan saya.

Iman : Tuan perlu sedar, kami hanya bekerja di dalam syarikat yang bersih dan amanah.. bukanlah saya nak memandang rendah kepada jabatan baru Encik Dosa, tapi kami tidak suka cara mereka bekerja. Mereka meminggirkan kami.

Diri : Dah awak tak melawan?

Iman : Tuan, bagaimana kami ingin menang? Kami terlalu lemah, sedikit pula tu, kebajikan kami langsung Tuan tak jaga.. sedangkan kami tidak pernah meminta gaji dari Tuan. Cuma kami minta disediakan ruang yang bersih dan amanah untuk kami bekerja. Salahkah kami meminta yang sedikit?

Diri : Mereka kadang-kadang lebih menggembirakan saya.

Iman : Kalau begitu maafkan kami. Tak dapat rasanya kami bekerja untuk Tuan lagi. Tuan perlu memberi kebajikan kepada mereka. Siapalah kami...

Diri : Ehh, jangan.. bekerjalah dengan saya.

Iman : Buanglah pekerja itu.. mereka meminta-minta dari Tuan. Tuan perlu berhabis jutaan ringgit untuk mereka. Sedangkan kami, percuma khidmat kami.

Diri : Aduh, mereka pekerja yang menggembirakan saya. Memang kamu percuma, tapi kamu kadang-kadang bising, ini tak boleh, itu tak boleh.. Saya rimas.

Iman : (Senyum sinis) Maafkan kami tuan.. kami minta diri dulu.. tak perlulah kami berkhidmat dengan Tuan kalau begitu. Kalau tuan perlukan kami, kami sentiasa di sisi. Tuan jangan risau, kami maafkan Tuan..

Diri : Jangan pergi.. saya sanggup pecat Encik Dosa.. dan ahli jawatankuasanya; DVD, majalah yang melalaikan, dan yang sewaktu dengannya.

Iman : Tuan betul-betul sanggup?

Diri : Ya, saya kelam kabut sekarang. Hidup tak tenang dan pengurusan hidup berterabur..

Iman : Alhamdulillah.. Perkhidmatan kami free of charge. Tuan takkan rugi, sebaliknya tuan beruntung besar.. silap hari bulan, CEO kita akan naikkan Tuan ke pangkat yang lebih tinggi.

Diri : Terima kasih =) Panggillah ahli jawatankuasa kamu bekerja semula. Encik Iman, saya akan jaga kebajikan kamu.

Iman : Alhamdulillah. Moga keuntungan Tuan bergada-ganda tahun ini dan seterusnya

Diri : Terima kasih Encik Iman.

Sumayyah Radhiallaahu ‘anha wanita pertama mati syahid

Sumayyah binti Khayyat adalah hamba Abu Huzaifah bin Mughirah. Tuannya mengahwinkan Sumayyah dengan Yasir bin Amir, perantau dari Yaman ke Mekah. Apabila Allah mengurniakan mereka seorang anak yang diberi nama Amar, Abu Huzaifah pun membebaskan Sumayyah daripada menjadi hambanya.

Apabila Islam mula tersebar, keluarga Yasir antara golongan pertama memeluk agama suci itu. Sumayyah tidak gentar dengan amaran musyrikin Quraisy yang menyeksa dan membunuh sesiapa yang memeluk Islam.

Apabila bangsawan Quraisy mengetahui Sumayyah sudah memeluk Islam, mereka menyerbu rumahnya. Keluarga Amar ditangkap dan dibawa ke khalayak untuk diseksa.

“Mereka sudah menyahut ajaran Muhammad walaupun ditegah oleh pihak atasan Quraisy. Kamu akan menerima balasan kerana ingkar perintah kami,” kata Abu Jahal kepada pengikutnya sambil menarik keluarga Yasir yang terikat ke kawasan padang pasir di luar kota Mekah.

“Mereka tidak serik dengan hukuman kita walaupun pengikut agama yang dibawa Muhammad telah diseksa oleh kita,” kata seorang bangsawan Quraisy yang berjalan di sebelah Abu Jahal.

“Kali ini saya tidak akan bebaskan mereka bertiga sehingga mereka mengaku berhala-berhala kita sebagai tuhan mereka,” tegas Abu Jahal yang mengacah tombaknya ke arah keluarga Yasir yang diseret secara kasar oleh pengikut Abu Jahal.

Mereka berhenti di kawasan lapang yang dipenuhi bongkah batu besar. Yasir, Amar dan Sumayyah ditanggalkan pakaian mereka lalu diikat pada bongkah batu yang panas mendidih dipanah matahari padang pasir. Kaki dan tangan mereka diikat ketat sehingga tidak dapat bergerak seinci pun. Abu Jahal, pembesar Quraisy dan pengikut setianya ketawa melihat penderitaan ketiga beranak itu.

“Kamu akan diseksa dengan lebih teruk seandainya kamu tidak mahu meninggalkan agama yang dibawa oleh Muhammad.

Kamu akan dibebaskan jika kamu sanggup mengaku berhala-berhala di kota Mekah ini sebagai tuhan kamu,” Abu Jahal mula mengambil tali sebat bagi menakutkan Yasir, Sumayyah dan Amar.

“Kami tidak akan mengaku berhala-berhala itu sebagai tuhan kami. Hanya Allah Tuhan kami,” balas Yasir dengan tenang.
“Saya beriman dengan Allah sahaja,” kata Sumayyah pula.

“Berani kamu melawan kata-kata saya,” api kemarahan Abu Jahal semakin membara mendengarkan kata-kata Sumayyah itu tadi.

“Ini balasan kepada kamu kerana enggan menerima berhala-berhala sebagai tuhan kamu,” Abu Jahal dan pengikutnya mula menyebat tubuh Yasir, Sumayyah dan Amar dengan kejam. Hinggakan darah mengalir daripada tubuh mereka yang terikat pada bongkah batu yang panas dipanah matahari tengah hari.

Berita penyeksaan keluarga Yasir sampai ke pengetahuan Nabi S.A.W sehingga baginda dan Abu Bakar keluar bagi menyelamatkan keluarga tersebut daripada seksaan kejam Abu Jahal dan pengikutnya. Namun, mereka dihalang oleh orang-orang Quraisy yang menyaksikan seksaan terhadap keluarga Yasir.

Rasulullah S.A.W hanya dapat menyaksikan keluarga muslim tersebut yang tengah tersiksa secara kejam, tiada apa yang dapat Baginda S.A.W lakukan melainkan beliau hanya mampu menadahkan tangannya ke langit dan berseru :

"Bersabarlah wahai keluarga Yasir kerana sesungguhnya tempat kembali kalian adalah syurga"

Hati Abu Jahal semakin sakit melihat reaksi Yasir, Sumayyah dan Amar yang masih enggan menerima berhala sebagai tuhan mereka. Dia mengarahkan pengikutnya memakaikan baju besi kepada ketiga-tiga ahli keluarga tersebut agar bahang matahari semakin menyeksa mereka.

“Kita lihat berapa lama kamu boleh menahan seksa di tengah-tengah kepanasan matahari ini,” sindir Abu Jahal sambil memandang wajah Yasir dan Sumayyah dengan bengis.

“Tiada tuhan melainkan Allah,” kata Yasir, Sumayyah dan Amar merintih dalam kesakitan memakai baju panas.

“Letakkan batu besar ke atas badan Yasir,” arah Abu Jahal lagi kerana geram mendengar kata-kata Yasir sekeluarga.

Seksaan demi seksaan ke atas Yasir menyebabkan fizikalnya menjadi lemah kerana usianya yang sudah lanjut. Akhirnya, Yasir menghembuskan nafasnya yang terakhir dengan menyebut nama Allah tanpa menerima agama berhala Abu Jahal.
Walaupun hati Sumayyah hancur melihat suaminya mati akibat seksaan Abu Jahal yang kejam, dia gembira kepada suaminya mati dalam menegakkan agama Allah.

“Kamu pun mahu mati seperti suami kamu. Lebih baik kamu terima tawaran saya sebelum ajal kamu tiba!” Abu Jahal mahu menunjukkan yang seksaannya mampu mengubah pendirian pengikut Nabi Muhammad kepada ajaran berhala.

“Jangan kamu berharap saya akan menurut kata-kata kamu itu. Tiada tuhan melainkan Allah,”. Hati Sumayyah keras seperti batu teguh pada keimanannya pada Allah.

“Kamu sudah semakin degil dan melawan kata-kata saya!” Abu Jahal mengambil tombak dari tangan kanannya lalu dicucuk ke dalam alat sulit Sumayyah.

“Allahu Akbar”. Begitulah kata terakhir Sumayyah sebelum menghembuskan nafasnya akibat tikaman tombak Abu Jahal itu.

Kematian Sumayyah dengan nama Allah di mulutnya demi mempertahankan keimanan pada Allah adalah peristiwa penting dalam sejarah pengembangan agama Islam. Sumayyah adalah wanita pertama mati syahid dalam sejarah Islam.

Tekadku

Ilmu, asas untuk kita mencapai kejayaan,
Ilmu, pentingnya bagai senjata di medan perang,
Untuk menempuh cabaran pada masa hadapan,
Yang menjanjikan hidup bahagia,
Kepada kita semua.

Ibu, aku janjikan kejayaanku untukmu,
Ayah, akan aku balas jasamu itu,
Pasti akan kutemui juga kejayaanku,
Walau terpaksa merantau jauh dari dirimu,
Walaupun sukar kutempuh jua.

Jika kau bertemu aku di sini,
Membuang waktu dan sering terlupa diri,
Akan kecewa, harapanmu musnah,
Pengorbanan sia-sia,
Fahamiku tak berdaya,
Namun, akanku terus berusaha,
Oh, Ayah! Oh, Ibu! Maafkan kesalahanku.

Kelak, jika aku kembali,
Membawa permata yang menerangi bumi,
Ketahuilah ia untukmu,
Balasan atas pengorbananmu,
Inilah tekad dan janjiku,
Akanku usaha sepenuh hati.

Oh, Ayah! Oh, Ibu! Nantikan kepulanganku,
Oh, Ayah! Oh, Ibu! Akanku ubati lukamu.
Dengarlah!

Paloh, Sarawak









               


p/s : Sila klik pada gambar untuk paparan yang lebih jelas

Jangan Putus Asa Dengan Berdoa (^__^)

Alangkah ramai manusia yang bermohon kepada  Tuhan supaya dimakbulkan segala yang diinginkan, namun tidak jua dimakbulkan. Kemudian manusia mengeluh dan bersangka buruk kepada Tuhan, lantas putus asa mencari keredhaan-Nya. Itulah hakikat manusia saban hari.
"berdoalah kepadaKu, dan berimanlah agar kamu memperoleh kebenaran."
(surah Al-Baqarah:186)
Kita tidak berdoa pun Allah sudah sedia mengetahui segala isi hati manusia.
"dan Allah mengetahui apa yang kamu rahsiakan dan apa yang kamu lahirkan."
(surah An-Nahl:19)

Jadi, mengapa masih perlu berdoa?
Berdoa sebagai tanda pengabdian diri kita sebagai hamba yang hina lagi dhaif kepada Allah, tidak ada tempat bergantung selainNya.
"cukuplah DIA sebagai tempat manusia bergantung harap dan tawakal."
(surah At-Taubah:129)

Tapi, mengapa masih tak termakbul juga doa?
Pandanglah diri sendiri, adakah kita lebih mencintai Allah daripada kesenangan duniawi? Cepat atau lambat dimakbulkan itu urusan Ilahi, kerana Dia Maha Mengetahui perkara yang terbaik bagi setiap makhluk ciptaan-Nya.
" dan apabila manusia ditimpa bahaya, Dia berdoa kepada Kami dalam keadaan berbaring, duduk atau berdiri, tetapi setelah Kami hilangkan bahaya itu daripadanya, Dia (kembali) melalui (jalannya yang sesat), seolah-olah Dia tidak pernah berdoa kepada Kami untuk (menghilangkan) bahaya yang telah menimpanya. Begitulah orang-orang yang melampaui batas itu memandang baik apa yang selalu mereka kerjakan."
(surah Yunus:12)

Sekiranya kita tidak dapat perkara yang  dihajati, bersyukurlah dengan kondisi diri dinihari. Semakin dekat kita kepada Allah, semakin hebat dugaan. Itu membuktikan Allah sangat kasih kepada sekalian hamba-Nya, agar kita benar-benar ikhlas dalam mencari keredhaan-Nya serta tidak termasuk di dalam golongan yang lalai dan terbiar diabaikan.
Manusia yang diuji sedemikian rupa akan merasa manisnya iman, seolah-olah syurga sudah tersedia di hadapan mata, tapi ingatlah firman Allah dalam (surah Al-Baqarah:214) yang bermaksud:

"Ataukah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (dugaan) seperti (yang dialami) orang-orang yang terdahulu sebelum kamu. Mereka ditimpa kemelaratan, penderitaan dan digoncang (dengan berbagai cubaan), sehingga Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya berkata, "Bilakah datangnya pertolongan Allah?". Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat."

Sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat, benarlah doa itu senjata orang-orang mukmin. Yakinlah dengan sepenuh hati. Dunia bukan syurga yang dicari, nikmat kesenangan dunia hanya setitis air di lautan sahaja.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum w.b.t & Salam Sejahtera buat semua pengunjung, terima kasih kerana sudi mengunjungi blog saya.Paparan terbaik dari blog ini hanya dengan menggunakan browser Firefox.Terima kasih sudi ziarah.Sila Datang Lagi

Sharing is Caring

Footer

Hakcipta Terpelihara